17 Mar

Bank Negara Malaysia Melantik Ahli-ahli Baharu Jawatankuasa Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil

Source by: Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan ahli-ahli baharu bagi Jawatankuasa Penyelesaian Pinjaman Kecil berkuat kuasa 1 Mac 2015. Datuk Wan Azhar Wan Ahmad telah dilantik sebagai Pengerusi bagi menggantikan Encik Md. Yusof Hussin yang bersara setelah berkhidmat dengan Jawatankuasa ini selama lebih 10 tahun. Ahli-ahli Jawatankuasa ini mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perniagaan, pembangunan keusahawanan, perbankan dan kewangan. Ahli-ahli Jawatankuasa ini terdiri daripada:

 

1.  Datuk Wan Azhar Wan Ahmad (Pengerusi) – Mantan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad

2.  Dato’ Mohd Hanif Sher Mohamed - Pengerusi, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit

3. Datuk David Chua Kok Tee – Penasihat Eksekutif, Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia

4.  Datuk Dzulkifli Fadzilah – Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad

5.  Tuan Haji Ariffin Hew - Mantan Pengarah, Bank Pembangunan Malaysia Berhad

6.  Encik Jeffrey Chew -  Mantan Ketua Pegawai Eksekutif, OCBC Bank (M) Berhad

7.  Puan Fauziah Hisham - Pengerusi, J.P. Morgan Chase Bank Berhad

8.  Puan Sarojini Ruth Rajasher - Presiden, Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (National Association of Women Entrepreneurs of Malaysia, NAWEM)

9. Encik Jeremy Lee Eng Huat – Ketua Pegawai Eksekutif, Biro Pengantaraan Kewangan dan wakil Bank Negara Malaysia

 

Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (Small Debt Resolution Scheme) ini diwujudkan pada tahun 2003 untuk menyediakan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya maju, yang menghadapi masalah kewangan sehingga memberi kesan kepada obligasi pembayaran balik pembiayaan mereka. Jawatankuasa ini membuat penilaian secara bebas mengenai daya maju perniagaan PKS dan mencadangkan solusi pemulihan melalui penstrukturan semula atau penjadualan semula kemudahahan pembiayaan mereka yang sedia ada, atau menyediakan pembiayaan baharu, yang mana sesuai.

 

Sejak diwujudkan, Skim ini telah menerima sebanyak 1,316 permohonan, dengan  916 daripadanya diluluskan untuk penstrukturan semula atau penjadualan semula yang    melibatkan pembiayaan sebanyak RM1 billion. Daripada jumlah ini, kira-kira 50 peratus daripada PKS yang mendapat bantuan di bawah Skim ini telah berupaya memperbaik keadaan aliran tunai perniagaan mereka, memulihkan kembali perniagaan dan seterusnya kekal berdaya maju.

 

Bank Negara Malaysia

17 Mac 2015



«  Back